Kelebihan Orang Yang Menghafal Al-quran


“Fath, anta nak tak masuk Maahad Tahfiz?” Tanya seorang rakan baik yang sedang belajar di Tahfiz.

“Maahad tahfiz tu macam mana belajarnya” Tanya ku spontan.

“Macam biasalah, hafal al-quran, belajar feqah, belajar tauhid dan lain-lain lagi” jawab dia selamber.

“Banyak kelebihan tau orang hafal al-Quran ni” tambahnya lagi.

Uish bestnya, mataku seakan-akan keluar segala jenis bintang2 yang bersinar pada masa itu, macam hendak ikut program skim cepat kaya sahaja lagaknya.


Teringat perbualan di atas dahulu ketika sedang menunggu keputusan UPSR, akibat degil cakap Umi, terus setahun tidak dapat apa-apa duduk di Tahfiz. Umiku berharap agar aku masuk ke asrama penuh. Alhamdulillah, banyaknya hikmah yang tersembunyi.

Berusahalah, mengisi borang sendiri dan persiapan temuduga sendiri di samping memujuk ayah yang baik hati agar menghantar aku ke temuduga Maahad Tahfiz. Begitulah serba sedikit kisah aku dahulu.


Pada penulisan kali ini saya ingin berkongsi mengenai kelebihan orang yang menghafal Al-quran. Seperti mana yang kita sedia maklum bahawa Al-quran adalah kitab suci yang perlu kita jaganya sehingga hari kiamat di samping isinya yang sangat bermukjizat sehingga tiada seorang pun dari kalangan manusia yang dapat menandinginya. Isi kandungannya dapat menyelesaikan setiap masalah kehidupan yang ada di dunia ini bagi sesiapa yang ingin mengambil pengajaran dan pelajaran daripadanya.

Di dalam al-quran Allah telah berjanji bahawa dia akan menjaga Al-quran sehingga hari kiamat. Allah menjaganya dari hilang dengan meletakkannya di dalam hati-hati orang yang menghafal al-quran, sebab itulah Allah memudahkan manusia untuk menghafalnya di samping jumlah ayatnya yang tidak terlalu banyak dan tidaklah terlalu sedikit. Kalau kita menghafal buku ekonomi semuka, agak-agak berapa lama tempohnya, dah la boring bak kata kawan saya.


Berbeza dengan Al-quran, kita terasa mudah dan seronok untuk menghafalnya, terasa tenang kerana ia dibaca dengan berlagu. Subhanallah, kehebatan al-quran yang tiada tandingannya. Saya hafal al-quran dahulu di tahfiz, semuka hanya 15 minit. Mudah dan cepatkan. Sebab itulah saya berani cakap bahawa al-quran sangat-sangat istimewa.


Allah bukan sahaja menurunkan al-quran semata-mata untuk dihafal di samping ia menjadi kitab rujukan manusia, bahkan Allah telah menyediakan ganjaran yang sangat banyak kepada orang yang menghafalnya sama ada di dunia dan di akhirat. Ada pernah dengar orang yang menghafal al-quran mati kelaparan? Ada pernah dengar orang yang menghafal al-quran minta sedeqah? Kalau ada buktikan pada saya. Saya jamin tidak akan ada. Kalau ada pun mungkin dia menghafal al-quran tetapi akhlaknya bukan dari akhlak al-quran.


Selain itu juga, orang yang menghafaz al-quran ini sangat mudah untuk menguasai  ilmu yang dipelajarinya. Saya telah lihat banyak buktinya daripada beberapa orang sahabat saya yang menghafal al-quran. Mereka memasuki tahfiz selama beberapa tahun pada awalnya, di situ mereka langsung tidak diberi pendedahan mengenai subjek akademik seperti di sekolah-sekolah yang lain yang setiap harinya belajar akademik. Tetapi apabila tahun itu adalah tahun untuk mereka mengambil SPM, mereka belajar sendiri atau pun menumpang ke sekolah-sekolah agama dan sekolah harian biasa selama setahun dua lebih kurang.

Apabila keputusan keluar sahaja, keputusan mereka amat-amat lah cemerlang berbanding pelajar-pelajar sekolah harian biasa yang setiap harinya adalah menghadap buku akademik semenjak dari tingkatan 1, ada yang dapat keputusan 10 A, ada yang dapat 9 A dan sebagainya. Junior saya mendapat 8 A baru-baru ini dan dia pun hendak belajar ke Jordan. Best kan al-quran tu.



“Ustaz, kami cemburulah dengan pelajar-pelajar tahfiz, kami pun hendak hafal al-quran, tapi tidak berkesempatan”  beberapa orang remaja mengadu.

“Allah swt itu maha adil wahai saudaraku. Dia tetap akan memberi kebaikan pada siapa yang dikehendakinya. Kalau kita selalu membaca al-quran, beramal dengan isi kandungan al-quran, berakhlak dengan isi kandungan al-quran, istiqomah hafal sedikit demi sedikit. Insyaallah, pada hari kiamat nanti kamu pun akan dibangkitkan sebagai orang yang ahli al-quran juga sekaligus mendapat syafaat dari al-quran” jawab ku tenang.


Saya selitkan beberapa kelebihan orang yang menghafal al-Quran mengikut al-Quran dan As-sunnah.

Pertama : Ganjaran di dunia.

Selain ganjaran-ganjaran di akhirat yang dijanjikan dalam hadis Nabi saw terhadap golongan Hamlatul Quran, terdapat juga ganjaran di dunia yang diberikan terhadap mereka.

1. Para penghafaz al-Quran merupakan orang yang dimuliakan oleh Allah S.W.T .

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : “Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia". Lalu mereka bertanya : "Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W?" Jawab baginda : "Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah)  dan orang-orang pilihannya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)


2. Penghafaz al-Quran juga diangkat sebagai pemimpin.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Yang menjadi imam suatu kaum adalah yang paling banyak hafalannya.” (Hadis Riwayat Muslim)


3. Penghafaz al-Quran mendapat pengiktirafan dari Nabi S.A.W.

Terdapat dalam sirah selepas perang Uhud, Nabi S.A.W mengutamakan seorang syahid yang banyak hafalan al-Qurannya. “Adalah nabi mengumpulkan di antara dua orang syuhada Uhud kemudian baginda bersabda maksudnya:  “Manakah di antara keduanya yang lebih banyak hafal al-Quran, ketika ditunjuk kepada salah satunya, maka baginda mendahulukan pemakamannya di liang lahat.” (Hadis Riwayat Bukhari)


4. Al-Quran menjanjikan kebaikan.

Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 191 yang bermaksud, "Orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa berdiri dan duduk, dan semasa mereka berbaring mengiring." Berdasarkan ayat ini ulama tafsir menyatakan kelebihan hafiz yang boleh membaca al-Quran dalam setiap keadaan.   Ini berbeza dengan orang yang hanya boleh membaca melalui naskhah yang perlu disertakan dengan adab serta peraturan tertentu

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al Quran dan yang mengajarkannya” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)


Kedua : Ganjaran di akhirat


1. Ibu bapa penghafaz al-Quran mendapat kemuliaan.

Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa yang terkandung dalamnya maka kedua dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari , sungguhpun matahari itu berada di dalam rumah-rumah kamu di dunia ini".
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Allah SWT juga memberi jaminan ganjaran kepada ahli keluarga bagi hafiz al-Quran sebagaimana Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan bahawa ibu bapa bagi penghafaz al-Quran akan dimuliakan di akhirat termasuk sepuluh orang ahli keluarga yang turut menumpang syafaat memasuki syurga.

Sabda Rasulullah lagi, maksudnya : "Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka." (Hadis Riwayat Tarmizi)


2. Penghafaz al-Quran akan mendapat syafaat (penolong).

Dari Abi Umamah ra. ia berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Bacalah olehmu al- Quran, sesungguhnya ia akan menjadi pemberi syafaat pada hari kiamat kepada para pembacanya (penghafalnya).”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah S.A.W. bersabda,maksudnya : "Tidak ada orang yang berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca dan mempelajari al-Quran,kecuali mereka akan memperolehi ketenteraman,diliputi rahmat,dikelilingi para malaikat dan mereka sentiasa disebut-sebut oleh Allah di kalangan para malaikat (yg di langit)."(Hadis Riwayat Muslim, At-Tirmizi,Ibnu Majah dan Abu Daud).


3. Penghafaz al-Quran mendapat ganjaran berlipat kali ganda.

 Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran) maka baginya (pembaca) dengannya (al-Quran) pahala dan pahala digandakan sepuluh sebagaimananya. Aku tidak kata bahawa “alif laam mim” itu satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim itu satu huruf".
(Hadis Riwayat Tarmizi)


Kesimpulan

Al-Quran mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat di dalamnya. Pelbagai kajian dilakukan daripada dahulu sampai sekarang, berapa banyak rahsia-rahsianya telah dicungkil keluar. Kajian terhadapnya tidak akan habis sampai bila-bila. Begitulah kelebihan yang ada pada al-Quran, tetapi tidak ramai pun manusia yang ingin mengambilnya sebagai wasilah kehidupan. Tambahan pula orang yang menghafal dan membacanya selalu, maka bertambah-tambahlah keberkatan al-Quran di dalam kehidupannya dan kehidupan orang yang dekat dengannya.


Jangan khuatir, jika kita tidak menghafal al-Quran, boleh jadi suami kita nanti seorang yang menghafal al-Quran, atau isteri kita, atau anak-anak kita, atau cucu-cucu kita kelak. Cuma, kita jangan putus asa berdoa kepada Allah swt agar diberi kesempatan. Insyaallah, kita akan merasai keberkatannya di dalam kehidupan kita semua jika al-Quran menjadi satu cara hidup.

Sebab itu janji Allah swt.

7 comments:

Anonymous said...

Allahu akbar..tersentuh hati membaca.. entri ni seronok :)

Fathullah Al-Haq said...

Semoga beroleh redha Allah swt :-) dunia akhirat

Unknown said...

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Subhanallah Banyak ilmu yang saya dapatkan disini, terimakasih dan salam ukhuwah wahai sauadaraku.

Anonymous said...

Alhamdulillah..sya juga sedang cuba menghafaz ...

Anonymous said...

Assalamualaikum....
Saya ada sedikit kemushkilan oleh itu ingin mengajukan satu soalan jika saudara atau sesiapa disini yang sudi untuk memberi pencerahan.
Sebelum itu saya ingin menukilkan situasi yang saya hadapi agar saudara mendapat memberikan jawapan yang lebih spesifik untuk permasaalahan saya ini.
Saudara ada menyisipkan satu hadis Rasulullah di blog saudara ini iaitu ;
"Sabda Rasulullah lagi, maksudnya : "Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka." (Hadis Riwayat Tarmizi)
Hadis ini kerap kali "didendangkan" ke telinga sesiapa saja yang mendengar oleh seorang rakan sekerja saya. Setiap kali jika ada peluang dalam bicara, dia seboleh-bolehnya menyelitkan juga yang adiknya seorang pelajar tahfiz. Jadi hadis ini dijadikan hujah defensif oleh rakan sekerja saya ini tiap kali kami cuba mempertahankan seseorang yang dia hina/umpat agar kami tidak bersekongkol dalam dosa ghibah. Pernah disampaikan dengan cara "beralas" sebaik yang mungkin dan alhamdulillah dia sedar yang ghibah itu adalah salah satu dosa besar yang ramai orang awam anggap remeh. Pendek cerita dalam kesimpulan, jelas sekali dosa ghibah diperlekehkan atas keyakinannya yang tinggi akan kedudukannya yang pasti terus ke Syurga disebabkan pertalian darahnya dengan seorang tahfiz. Besar kemungkinan ini juga hujah mindanya, apabila meninggalkan solat. Barangkali dia rasa untuk situasi dia, tidak perlu kerana menurut hadis yang saya sebutkan tadi, tempatnya di Syurga sudah terjamin. Tapi entahlah...mungkin yang ini hanya nukilan berat sebelah saya akibat hati disakiti. Wallahu a'lam.
Terus-terang saya akui yang saya tidak berilmu dalam bidang hadis tetapi ada juga terdengar dalam beberapa ceramah agama ;
“Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan.” (Riwayat Muslim)
Saya bukannya ingin mencari hukum untuk menjatuhkan dia di mata sesiapa. Cukuplah sekadar ingin mencari "ubat" dalam agama yang sudah pastinya mujarab untuk hati yang luka bila acapkali tiba giliran saya atau rakan sekerja lain pula dihina.
Perkara ini sebenarnya sudah lama terbuku di dalam benak hati.
Cuma tidak tahu ke arah mana atau kepada siapa nak diajukan permasaalahan ini. Tambahan pula saya ini jenis introvert, jadi jika saya mengadu secara konfrontasi, lidah saya agak kelu.
Saya mengharap ihsan jawapan saudara atau sesiapa sahaja yang terbaca komen saya ini jika sudi.

Nazary said...

Semoga Allah memberi kesempatan kepada kita untuk menjadi seorang penghafaz Al-Quran suatu hari nanti. Aaminnn...

Arif Iskandar Abdul Ghafor said...

MashaALLAH terima kasih atas perkongsian

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

Categories

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger