Segala puji bagi Allah swt yang mentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad saw.
Alhamdulillah, pada malam tadi telah berlangsungnya ceramah bersempena dengan sambutan Maulid Nabi saw di dewan Abu 'Ain. Majlis ini dimulakan dengan membaca ayat suci Al-quran oleh saudara Munzir b. Zamri, beliau membacakan surah Ali-imran ayat 144 hingga ayat 151. Dalam beberapa ayat ini, saya suka pada ayat 146,
Firman Allah swt: Dan berapa banyaknya nabi yang berperang bersama-sama mereka, sejumlah besar dari pengikut (nya) yang bertakwa. Mereka tidak menjadi lemah karena bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Allah menyukai orang-orang yang sabar. Ali-imran ayat 146.
Ayat ini menjadi satu motivasi yang hebat pada kita semua selaku khalifah di muka bumi Allah ini, agar menghadapi semua liku-liku kehidupan dengan tabah dan sabar.
Penceramah yang dijemput ialah Dr 'Ala Hilat, beliau adalah pensyarah di kuliyah syariah bahagian usuluddin. Beliau juga terkenal dengan watak yang tenang dan peramah, masih muda dan tampan. Sukanya saya di sini untuk berkongsi apa pengisian ceramah beliau kepada pembaca semua dalam bentuk ringkasan, agar pembaca semua juga boleh mendapat manfaat ilmu serta ganjaran yang besar di sisi Allah swt. Tanpa memanjangkan kalam, ini adalah ringkasan ceramah beliau:
1. Beliau memuji dan menghormati pelajar Malaysia di jordan dengan penghormatan yang tinggi. Beliau juga menyatakan bahawa, kalaulah arab menjadi Melayu, alangkah bahagianya. Mungkin beliau hanya melihat segelintir sahaja, semuanya nampak putih, tapi masih ada lagi segelintir yang pelbagai lagi warna perwatakan. Moga-moga Allah memelihara aib kita semua di depan ilmuan seperti beliau.
2. Beliau menyatakan bahawa umat islam pada hari ini perlu menghayati sirah nabawiyah dari dalam, iaitu menterjemahkannya dalam amal perbuatan kita seharian. Hal ini kerana, ramai yang mempelajari dan mengetahui sirah baginda saw dengan pengetahuan yang sangat mendalam, tetapi kosong dari segi amalan dan perbuatan. Ini adalah satu malapetaka yang sangat besar dalam kehidupan umat islam sebenarnya, mereka lebih suka berkiblatkan cara hidup orang kafir dalam kehidupan seharian.
3. Umat islam pada hari ini perlu menguasai semua disiplin ilmu sama ada duniawi atau ukhrawi. Apabila sudah mempelajari ilmu-ilmu itu, maka keimanan dan kepercayaannya kepada Allah swt makin mendalam serta mengamalkan ilmu dalam amal perbuatan seharian, seperti mengamalkan adab dan akhlak yang mulia, menjadi pemimpin yang adil, menjadi doktor yang ikhlas, menjadi ahli ekonomi yang adil dan pelbagai lagi. Jika kita melihat balik kehidupan orang-orang kafir atau pun orang yang tidak mengamalkan ajaran islam, mereka memang pandai dan cerdik, tetapi kecerdikan itu digunakan untuk tujuan kerosakan, kalau kita lihat pada hari, berapa banyak kerosakan yang mereka lakukan, seperti sistem riba yang tidak adil, pemerintahan yang tidak adil, mencipta senjata yang canggih, dan pelbagai lagi kerosakan yang berlaku.
4. Kita perlu menghayati kisah kehidupan Rasulullah saw sejak baginda kecil lagi, bagaimana konsep sabar, tabah, matang, cara berfikir, teguh pendirian, amanah, benar pertuturannya, dan banyak lagi sifat-sifat terpuji yang nabi terapkan dalam kehidupannya. Sejak kecil lagi, nabi telah bekerja keras untuk membantu Abi Talib untuk menyara anaknya yang ramai, sedangkan nabi tidak mahu menyusahkan bapa saudaranya, jadi nabi saw bekerja sendiri. Bagaimana cekalnya baginda dalam berdakwah, sedangkan baginda dihina dan dicaci. Bagaimana kuatnya hati baginda saw menahan sedih ketika kematian bapa saudaranya dan isterinya yang tercinta. Fikirkan bagaimana nabi menghadapi dugaan ketika dihalau oleh kaumnya dari mekah, ketika perjalanan ke madinah dengan pelbagai liku kepayahan. Semua itu, langsung tidak menjatuhkan semangat baginda saw, malah makin bersemangat yang membara untuk berjuang menegakkan kalimah Allah swt di muka bumi ini. Jika kita lihat balik bagaimana matangnya tatacara baginda saw, ketika umurnya 25 tahun berkahwin dengan Saidatina Khadijah iaitu seorang wanita yang disegani oleh kaum mekah yang berumur 40 tahun.
5. Di sini juga menggambarkan bagaimana contoh seorang sahabat yang sejati seperti Abu bakar r.a. sanggup bersama-sama dengan nabi saw berjuang menegakkan islam. Walaupun mereka keluar berhijrah ke madinah, sedangkan mereka dikejar oleh kaum musyrikin yang sangat kejam, mereka sedikit pun tidak rasa putus asa. Ketika satu masa dalam perjalanan hijrah, mereka bersembunyi di dalam sebuah gua, sedangkan pada waktu itu, Abu bakar sudah resah mengenangkan suara-suara puak musyrikin di luar gua. Nabi saw menasihatnya dengan nasihat yang sangat lembut, kata nabi bahawa bersama kita yang ketiga adalah Allah swt. Terus tenang hati Abu bakar mendengarnya. Adakah kita dengan sahabat kita seperti itu?. Cuba kita fikir sedalam-dalamnya, bagaimana tenangnya seorang nabi menghadapi rintangan dan dugaan. Tidak kasar percakapannya ketika bercakap, walaupun baginda ditengking oleh arab badwi.
6. Dr 'Ala juga banyak bercerita dalam bentuk motivasi, seperti permasalahan hidup yang berlaku sekarang. Salah satu ceritanya ialah mengenai hal perkahwinan, ada seorang kawan karibnya yang bersama-sama belajar di maghribi dahulu, tetapi kawan karibnya mengambil jurusan lain. Ketika sedang belajar kawannya telah bercinta dengan seorang perempuan, mereka selalu keluar bersama-sama, kadang-kadang dia meninggalkan solat, tidak membaca al-quran, tidak bangun malam seperti biasa, kadang-kadang juga dia meninggalkan puasa, dan akhirnya mereka berkahwin. Selepas beberapa bulan kemudian, mereka bergaduh. Banyak masa mereka dibuang dengan bergaduh sahaja. Kawan karibnya berjumpa dengannya, lalu meminta nasihat, pada perbincangan itu kawannya menangis, lalu Dr 'Ala menasihatkannya agar cari dahulu apa punca pergaduhan. Kawannya menjawab, dia tidak tahu apa punca sebenarnya mereka bergaduh. Akhirnya selang beberapa lama, kawan dia dapat tahu apa punca sebenar mereka bergaduh, kawannya beri tahu bahawa semasa mereka bercinta, dia telah mengutamakan kekasihnya daripada Allah swt. Semoga kita sama-sama renungkan.
Sekadar renungan dari kisah bahagia baginda saw:
وَكانَ يُسابِقُ السَّيِّدَةَ عائشة بالعَدْوِ والهَرْوَلَة فيُسبِقُها، فإذا رَآها غَضَبَتْ تَثاقَلَ لها حتّى تُسبِقُه
Dan adalah baginda SAW berlumba lari dengan Sayyidiah 'Aisyah dan baginda mendahuluinya. Apabila baginda SAW melihat Aisyah marah, baginda SAW melambatkan lariannya sehinggalah Aisyah yang mendahului.
p/s: seperti biasa, saya terlupa nak tangkap gambar beliau.
0 comments:
Post a Comment