Apakah perbezaan islam dan iman mengikut ayat 14 dalam surah Al-hujurat.




قَالَتِ الْأَعْرَابُ آمَنَّا قُل لَّمْ تُؤْمِنُوا وَلَكِن قُولُوا أَسْلَمْنَا وَلَمَّا يَدْخُلِ الْإِيمَانُ فِي قُلُوبِكُمْ وَإِن تُطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَا يَلِتْكُم مِّنْ أَعْمَالِكُمْ شَيْئاً إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ. الحجرات آية 14

Yang bermaksud : orang-orang A'rab ( arab badwi) berkata: "Kami telah beriman". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja: "Kami telah islam". Dan ingatlah, jika kamu taat kepada Allah dan rasul-Nya(zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dari pahala amal-amal kamu, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani". Al-hujurat ayat 14.


Pada kali ini, saya ingin membincangkan sebuah ayat yang berada di dalam surah Al-hujurat. Ayat ini membincangkan permasalahan islam, iman, dan apakah perbezaannya.


Allah swt telah mengingkari ke atas orang badwi (Arab kampung) yang mendakwa bahawa diri mereka sudah mencapai makam dari kalangan orang beriman. Pada waktu itu, mereka baru sahaja masuk agama islam, sedangkan pada waktu yang sama mereka belum merasai nikmat iman kepada Allah swt.


Namun begitu, mereka akan merasai iman jika mereka memahami dan komitmen terhadap islam selepas itu. Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa iman lebih khusus daripada islam sebagaimana termaktub dalam mazhab akidah kita yakni Ahli Sunnah Waljamaah. Di antara hadis-hadis dalam susunan hadis 40 yang disusun oleh Al-Imam An-nawawi rahimahullah telah menjadi bukti dan dalil tentang keadaan ini, iaitu pada hadis ke dua menerangkan tentang islam, iman dan ihsan oleh Jibril Alaihissalam sebagaimana kita sedia maklum bahawa hadis Ahad ini sahih daripada riwayat Sayidina Umar Al-khattab r.a.



Ibnu Daqiq Al-'aid telah berkata: Hadis ini hebat serta merangkumi semua amalan-amalan sama ada yang zahir atau pun yang batin, ilmu-ilmu syariah telah mengambilnya sebagai asas-asas rujukan. Hadis ini juga dianggap sebagai ibu segala hadis sebagaimana dinamakan Al-fatehah (ibu Al-quran), yang mana surah Al-fatehah ini merangkumi seluruh Al-quran.



Di dalam hadis ini menerangkan bahawa ihsan lebih khusus daripada iman, iman lebih khusus daripada islam, manakala islam lebih umum daripada iman dan ihsan. ketika mana Arab badwi menyatakan bahawa mereka sudah beriman, maka Allah menegur mereka kerana Allah swt ingin mendidik akhlak dan adab-adab mereka sebagai seorang muslim. Sebagai contoh yang saya boleh terjemahkan dalam bentuk yang lebih mudah ialah, Ali semakin hampir kepada hari peperiksaan, sedangkan dia ulang kaji pelajaran hanya ala kadar sahaja, tetapi dia yakin bahawa dia akan mendapat semua A dalam semua mata pelajaran atau pun ada seseorang pelajar belajar tentang ilmu perubatan, dia masih baru, tetapi dia ingin merawat pesakit. Hal ini telah membezakan pengakuan dari mulutnya terhadap apa hakikat yang sebenar dalam dirinya. Terlalu konfiden, akan menyebabkan manusia cenderong kepada kegagalan.



Kita sudah sedia maklum bahawa sifat konfiden tidak sama dengan sifat para munafik, hal ini kerana para munafik daripada Arab Badwi lebih bahaya daripada orang munafik biasa. Jadi, penulis hendak menyatakan di sini bahawa orang badwi yang konfiden dengan iman seperti ayat di atas tidak ada kaitan dengan sifat golongan orang munafik.

Firman Allah swt : Orang-orang A'rab (orang badwi) lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada rasul-Nya. Dan (ingatlah) Allah maha mengetahui, lagi maha bijaksana. At-taubah ayat 97.



Seterusnya Allah telah menyatakan bahawa Allah swt tidak akan mengurangkan sedikit pun ganjaran amalan yang mereka lakukan walaupun mereka baru sahaja masuk islam, sementelaah mereka hendak memahami islam dengan baik seperti para sahabat yang lain. Contohnya, sahabat yang terkenal seperti Mus'ab B. Umair r.a. Beliau telah meninggalkan semua harta kekayaan milik keluarganya demi kerana untuk berjuang bersama Nabi saw, malah beliau telah dihantar menjadi duta pertama dalam islam ke madinah semata-mata untuk mengajar Al-quran. Seperti juga sahabat-sahabat yang menyertai peperangan badar, walaupun menghadapi kaum musyrikin dengan berganda banyaknya, mereka tetap menghadapinya dengan tenang dan penuh keimanan. Inilah di antara bukti-bukti bahawa iman telah menyerap ke dalam sanubari mereka.



Justeru, kita perlu percaya bahawa hakikat islam dan iman tidak sama, tidak semestinya dia islam maka dia akan beriman dan begitu juga sebaliknya. Hal ini kerana, lesen untuk mendapatkan islam banyak tertumpu kepada perbuatan seperti mengucapkan dua kalimah syahadah dan mengamalkan rukun-rukun 4 yang berbaki, manakala lesen untuk mendapatkan iman perlu memenuhi banyak syarat-syaratnya yang lebih berbentuk dalaman, kerana ia sangat berkait rapat dengan soal akidah dan kepercayaan, apatah lagi untuk mencapai taraf ihsan.


Jika begitu tingkatan taraf yang diperuntukkan oleh Allah swt kepada kita semua, maka kita tidak cemburukah untuk berlumba-lumba mengejar ilmu, kefahaman, serta amalan terhadap islam secara menyeluruh dan betul mengikut garis panduannya. Tidakkah terdetik di dalam hati kita untuk duduk di dalam syurga yang teratas bersama-sama dengan Rasulullah saw, para nabi, para syuhada, dan para solihin. Tidakkah kita terfikir bagaimana pemimpin yang kita pilih, seperti pemimpin masyarakat atau pemimpin rumah tangga, kita lihat banyak menjadi huru hara dengan sebab rasuah, penceraian, ibu bapa tidak faham agama, dan banyak lagi kerosakan yang berlaku. Ada juga ingin mencari kefahaman terhadap islam apabila dewasa, tetapi tersesat di tengah-tengah jalan. Percaya atau tidak, semua itu bermula kerana tiadanya tarbiyah islam yang syumul di dalam rumah. Tidakkah kita terfikir bahawa berapa kerat sahaja baki umat islam hari ini yang masih betul-betul menunaikan prinsip-prinsip islam dengan betul dan sahih mengikut syariat yang nabi saw bawa. Oleh itu, mari kita sama-sama fikirkan untuk masa depan kita di dunia dan di akhirat kelak.

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُوْلَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

Yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu hanyalah orang-orang yang percaya (beriman) kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjuang (berjihad) dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah.
Mereka itulah orang-orang yang benar. Al-hujurat ayat 15




Nota: 

1.  Rujukan kitab Taisir al-ali Al-qodir ringkasan bagi Tafsir Ibnu Kasir. Maktabah           Al-maaraf Di Riyadh.
2.  Al-wafi pada syarah matan 40 An-nawawiyah. Darul Ibnu Kasir
, Damsyiq-Birut.

1 comments:

Muhammad said...

Assalamualaikum.. salam ziarah..

Mohon penjelasan akh mengenai perenggan ini:

Kita sudah sedia maklum bahawa sifat konfiden tidak sama dengan sifat para munafik, hal ini kerana para munafik daripada Arab Badwi lebih bahaya daripada orang munafik biasa. Jadi, penulis hendak menyatakan di sini bahawa orang badwi yang konfiden dengan iman seperti ayat di atas tidak ada kaitan dengan sifat golongan orang munafik.

Firman Allah swt : Orang-orang A'rab (orang badwi) lebih keras kufurnya dan sikap munafiknya, dan sangatlah patut mereka tidak mengetahui batas-batas (dan hukum-hukum syarak) yang diturunkan oleh Allah kepada rasul-Nya. Dan (ingatlah) Allah maha mengetahui, lagi maha bijaksana. At-taubah ayat 97.

Jazakallah khairal jaza'. ^^

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

Categories

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger