Ada apa dengan hari kiamat. (Tanbihul ghafilin)



Segala puji bagi Allah swt yang mentadbir sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar baginda saw.

Apabila kita membicarakan soal mengenai hari kiamat, pasti ramai daripada kalangan kita berasa takut dan tidak sedap hati. Ada juga yang tidak mahu ambil tahu tentangnya, ada juga yang yakin bahawa kiamat itu jauh dan jauh lagi daripadanya, dan banyak lagi persepsi yang ada di dalam benak sanubari kita kalau hendak dihuraikan.

Namun, kita sebagai orang islam yang beriman perlu akur bahawa setiap apa yang dijadikan oleh Allah swt pasti akan hilang dan binasa, iaitu membawa maksud kepada fana' (tidak ada langsung kesan daripada kemusnahannya), mungkin boleh kita andaikan apabila seorang itu mati, jasadnya masih ada, tetapi kalau kita katakan bahawa ianya fana', maka ia akan hilang terus tanpa meninggalkan kesan.

Telah berkata Prof. Hamka dalam tafsirnya bahawa, dalam lipatan sejarah telah membuktikan bahawa bumi ini akan hancur akhirnya. Begitu juga dengan bukti-bukti kajian sains mengenai hakikat kehancurannya. Contohnya jika kita lihat kebanyakan kemusnahan yang berlaku pada hari ini seperti sunami, gempa bumi, gunung berapi, banjir besar, ribut taufan, lapisan ozon yang makin menipis menyebabkan kenaikan suhu yang melampau, kesan rumah hijau, kenaikan paras air laut disebabkan ais di kutub utara mencair, kebakaran hutan, musnahnya habitat kehidupan, banjir, dan bermacam-macam lagi kerosakan yang berlaku di muka bumi, ia adalah bukti tanda-tanda berlakunya kemusnahan alam dan kehidupan seisinya.

Kita juga perlu akui bahawa kita adalah umat akhir zaman yang mana nabi telah menegaskan, waktu antara zaman baginda dan waktu kiamat adalah seperti dua jari (masa itu nabi saw menunjukkan jari telunjuk dan jari hantu), dengan maksud begitu dekat waktunya dan waktu berlakunya hari kiamat. Oleh itu, saya ingin menghuraikan kepada pembaca semua pada kali ini dengan tajuk 'Mengapa kita perlu tahu dan beriman mengenai hari kiamat mengikut Al-quran dan As-sunah'. Sebab-sebabnya adalah seperti berikut:

1.       Menguatkan iman dan kepercayaan terhadap perkara ghaib. Kita sudah mengetahui bahawa perkara ghaib adalah salah satu daripada rukun iman yang enam, jika kita tidak percaya dan beriman terhadapnya, maka batal keislaman kita.

Firman Allah swt: Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mengerjakan sembahyang. Al-baqaroh ayat 3.

Daripada Abu Hurairah r.a. Baginda saw berdabda: Aku disuruh untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan bahawa tiada tuhan selain Allah swt, beriman dengan apa yang telah sampai kepadaku, jika mereka melakukan demikian, maka aku memelihara darah mereka dan harta mereka melainkan dengan haknya (iaitu mengucap dan beriman), dan Allah akan menghitung urusan mereka. (Bukhari dan Muslim)

Beriman dengan perkara ghaib iaitu beriman dengan setiap apa yang dikhabarkan oleh Allah swt dan rasulnya, maka ketahuilah bahawa kita wajib untuk membenarkan kebenarannya walaupun kita tidak melihat perkara ghaib tersebut. Daripada syarat-syarat berlakunya hari kiamat ialah seperti keluarnya Dajjal, turunnya nabi Isa alaihissalam, keluarnya Yakjuj dan Makjuj, keluarnya binatang yang boleh bercakap yang benama (Dabbah), terbitnya matahari daripada sebelah barat dan beberapa lagi perkara yang akan berlaku.

2.       Apabila kita mengetahui mengenai tanda-tanda hari kiamat, diri kita akan termotivasi untuk lebih taat kepada Allah swt dan lebih membuat persediaan untuk menghadapinya, seperti menyedarkan orang yang tengah lalai, menggalakkan mereka bertaubat, dan tidak terlalu berharap terhadap dunia yang menipu daya. Hal ini juga telah ditegaskan oleh baginda saw bagi sesiapa yang mempunyai ilmu mengenai hari kiamat, tetapi mereka masih lagi berkelakuan jahat dan leka.

Baginda saw bersabda: celakalah bagi kaum arab (dan bukan arab) yang berkelakuan jahat sedangkan kiamat semakin hampir, pada hari dilepaskan benteng yakjuj dan makjuj. (Bukhari dan Muslim)

3.      Menerangkan juga kepada kita mengenai hukum-hukum syariah dan masalah-masalah fekah. Seperti yang kita sedia maklum bahawa apabila dajjal keluar ke bumi, masa sehari akan jadi setahun, kemudian sehari sama seperti sebulan. Maka sahabat bertanya kepada baginda saw, bagaimana kita bersolat pada masa yang panjang itu, di sini kita perlu sedar bahawa mendalamnya  cinta sahabat terhadap suruhan agama, bagaimana dengan diri kita pada hari ini? Cukuplah hanya dengan kesejukan yang teramat sangat, kita sudah mula malas untuk bersembahyang, hanya demam sedikit, sudah malas untuk pergi ke majlis ilmu, hanya panas yang sedikit, rasa malas untuk memakai pakaian Muslimah yang lengkap dan bermacam-macam lagi ragam.
Maka nabi saw menjawab pertanyaan sahabat tadi dengan bersabda:  bagi setiap waktu solat ada kadarnya. Dengan maksud bahawa, kita akan solat pada waktu itu dengan kadar masa yang sudah sedia ada seperti sekarang, contohnya beza di antara isyak' dan maghrib hanya sejam setengah atau kurang sedikit, maka kita hitung sahaja kadar masa tersebut. Kita akan mendapati bahawa kita solat seperti orang yang bersolat di negara yang siang dan malamnya selama sebulan seperti di belah kutub utara dan kutub selatan.

4.       Membenarkan kenabian nabi saw sebagai nabi akhir zaman, pengetahuan nabi mengenai tanda-tanda hari kiamat. Di sini membuktikan bahawa nabi saw didatangkan oleh Allah swt untuk menyampaikan risalahnya kepada seluruh manusia bahawa perkara ghaib seperti hari kiamat pasti akan berlaku.
Firman Allah swt: Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuinya itu kepada sesiapa pun, melainkan kepada mana-mana rasul yang diredhanya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya. Al-jin ayat 26 dan 27.

5.       Selain itu, hikmah mengetahui tentang hari kiamat memberi banyak kelebihan kepada orang yang mempunyai ilmu tentangnya. Contohnya, pada akhir zaman, akan terbitnya beberapa nabi palsu selepas baginda saw dan akhirnya dajjal akan keluar, dalam jangka masa lahirnya seorang demi seorang nabi palsu, cuba kita hitung berapa banyak dari kalangan orang islam yang sudah terpedaya dengan helah mereka, cukuplah saya katakan bahawa ianya sangat-sangat merbahaya. Bagi orang munafiq dan fasiq, kemungkinan besar mereka tidak akan menyedari bahawa yang keluar itu adalah dajjal, disebabkan dajjal itu akan berlakon seperti nabi yang mempunyai beberapa kelebihan. Ramai yang akan terpedaya dengan ajakan dan kebaikannya. Oleh itu, mengetahui ilmu mengenai ciri-ciri dan rupa bentuk dajjal adalah sangat penting bagi kita selaku orang beriman untuk mempelajarinya dengan lebih mendalam serta berwaspada dengan kemunculannya.

6.       Persiapan diri untuk lebih bersedia sebarang kemungkinan yang berlaku, kebanyakan daripada kita sering terleka dalam membuat sesuatu persediaan, sungguh perkara yang mudah kita sering terlepas, ini kan pula perkara yang melibatkan keselamatan iman dan islam. Awas! Sekali lagi saya ingin tegaskan bahawa, jika iman kita gugur pada waktu tersebut dan kita tidak sempat untuk bertaubat ketika matahari terbit dari sebelah barat, maka dunia dan segala isinya tidak akan bernilai lagi pada diri kita.

7.       Terbukanya pintu harapan, kita sedia maklum bahawa apabila hampir menjelangnya detik kiamat, islam akan menang di setiap sudut muka bumi, agama nasroni dan yahudi akan hilang. Maka dari itu akan terbinanya sistem islam yang syumul di segenap pelusuk dunia.

8.       Akhirnya, beriman dengan hari kiamat akan menguatkan momentum iman dan kepercayaan dalam diri kita terhadap agama yang diredhai oleh Allah swt ini.

Kesimpulan.
Sesungguhnya kita perlu ketahui bahawa mati itu adalah satu kebenaran, kiamat itu adalah satu kebenaran, dan akhirat itu adalah satu kebenaran. Kita perlu sedar bahawa kita hidup ini hanyalah untuk menunaikan hak kita sebagai hamba terhadap pencipta yang Agung yakni Allah swt.
Oleh itu, saya mengajak kesemua sahabat yang saya kasihi sekalian untuk sama-sama kita bermuhasabah diri, adakah selama kita hidup ini sudah melayakkan diri kita untuk menjadi calon syurga? ataupun adakah selama kita hidup ini, kita sudah menunaikan semua tanggungjawab kita terhadap amalan-amalan seharian dan amanah kita? Adakah selama kita hidup ni, berapa banyak jasa kita terhadap islam yang kita sudah beri dan berapa banyak jasa yang kita balas terhadap ibu bapa kita yang sudah bersusah payah menjaga kita semenjak kecil. Jawapannya ada pada diri sahabat-sahabat sekalian, kita sama-sama fikirkan insya-Allah.

Ya Allah, saksikanlah bahawa aku sudah memberi peringatan kepada mereka.

Nota: Rujukan kitab 'Nihayatul Alam, syarat-syarat kiamat kecil dan besar' yang ditulis oleh Dr Muhammad Abdul Rahman Al-a'rifi. Darul Yaqin di Kaherah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

Categories

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger