Bagaimana utk melaraskan hadis-hadis sahih tetapi berlawanan pada maknanya.



Bagaimana untuk melaraskan hadis-hadis sahih yg mempunyai pertembungan pada maknanya.

Dari segi bahasa ia adalah isim fa`il daripada perkataan al-ikhtilaf lawan kepada perkataan al-dhidd. Maksud mukhtalif al-hadith ialah hadis-hadis yang sampai kepada kita dalam keadaan saling bercanggah dan bertentangan antara satu sama lain dari segi makna.

Istilah

Menurut istilah pula ia adalah hadis maqbul(boleh diterima) yang ditentang oleh hadis sepertinya tetapi boleh dihimpunkan antara keduanya.

Iaitu hadis sahih atau hasan yang didatangi oleh hadis lain sepertinya dari segi martabat dan kekuatan, dan secara zahir menyanggahinya pada makna, serta dapat dihimpunkan dan diselaraskan pengertian kedua-duanya oleh ahli ilmu dan ulama yang berfikiran tajam dalam bentuk yang boleh diterima.

Contoh Hadis

Hadis لا عدوى ولا طيرة maknanya “Tidak ada jangkitan dan penyakit burung” yang dikeluarkan oleh Imam Muslim dan hadis فر من المجزوم فرارك من الأسد maknanya “Larilah dari orang yang diserang kusta seperti kamu lari dari singa” yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari.

Kedua-dua hadis ini adalah sahih, namun pada zahirnya ada bertentangan kerana hadis yang pertama menafikan jangkitan manakala hadis yang kedua mensabitkannya. Para ulama telah mengkompromi dan menyelaraskan antara kedua-dua maknanya dengan pelbagai cara. Di sini, penulis buku ini telah menyebutkan pandangan yang telah dipilih oleh Imam al-Hafiz Ibnu Hajar Al-asqolani yang keterangannya adalah seperti berikut:

Cara penyelarasan

Cara menyelaraskan antara dua hadis ini boleh dikatakan ialah jangkitan itu dinafikan ada, dan ianya tidak sabit berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w.:

لايعدي شيء شيئا maknanya "Sesuatu itu tidak boleh menjangkiti sesuatu yang lain".

Dan sabda baginda kepada orang yang mempersoalkan tentang unta yang berkurap, yang mana unta tersebut berada di tengah-tengah unta yang sihat, lalu kurap itu berjangkit pada unta yang sihat. Baginda menjawab: Kalau begitu siapa yang menyebabkan jangkitan pada unta yang pertama?

Maksudnya ialah Allah s.w.t. yang memberikan penyakit itu pada unta yang kedua sebagaimana Dia memberikan penyakit pada unta yang pertama. Perintah lari atau menjauhi dari orang yang terkena kusta itu adalah sebagai menutup pintu-pintu kerosakan (Sadduz zarooe') supaya seseorang yang bergaul dengan pesakit kusta itu tidak terkena kepadanya penyakit kusta dengan takdir Allah SWT. Dengan itu, dia akan menyangka bahawa dia dapat sakit kerana dia bergaul dengan pesakit yang awal tadi, lalu menyebabkan dia mempercayai adanya jangkitan dan menjerumuskannya ke dalam dosa. Oleh kerana itu, diperintahkan supaya menjauhi pesakit kusta sebagai mengelak diri daripada terjerumus dalam kepercayaan yang membawanya kepada dosa. Ini adalah persolan aqidah, dan ianya amat-amat bahaya.

Apakah yang perlu dilakukan bila menemui dua hadis maqbul yang saling bertentangan?

Bila kita menemui dua hadis maqbul yang saling bertentangan, kita perlu mengikuti peringkat-peringkat berikut:

1. Dia mesti menyelaraskan antara kedua hadis tersebut, jika boleh diselaraskan, maka wajib beramal dengan kedua-duanya.

2. Jika tidak boleh diselaraskan dengan apa-apa sudut:

i. Sekiranya diketahui mana satu yang nasikh, maka itulah yang diutamakan dan diamalkan dengannya, serta yang mansukh ditinggalkan.

ii. Sekiranya tidak diketahui nasikh dan mansukh, maka ditarjihkan salah satunya dengan mana-mana bentuk tarjih yang berjumlah lebih daripada 50 bentuk. Dengan itu, hadis yang rajih (kuat) diamalkan.

iii. Sekiranya salah satu hadis tersebut tidak dapat ditarjihkan- ini jarang berlaku- maka ditangguhkan beramal dengan hadis tersebut sehinggalah alasan yang kuat diketahui .

Kepentingan

Disiplin ini merupakan antara ilmu-ilmu hadis yang terpenting kerana semua ulama terpaksa mengetahuinya dan mendalaminya. Ulama-ulama yang memiliki kemahiran yang sempurna di dalam disiplin ini ialah imam-imam yang menggabungkan antara ilmu hadis, fiqh, dan ilmu usul fiqh supaya dapat menyelami makna-maknanya yang halus. Bagi ulama, mereka jarang sekali timbul kemusykilan apabila berhadapan dengan hadis-hadis seperti ini.

Pertentangan dalil-dalil adalah benar-benar telah memberangsangkan fikiran ulama. Padanya terserlah bakat dan kehalusan pemahaman serta pendapat mereka yang baik tanpa membuang mana-mana hadis yang diakui kesahihannya.

Kitab-kitab yang terkenal:

1. Ikhtilaf al-Hadith karangan Imam al-Syafi`e. beliau merupakan orang yang pertama membincangkan dan mengarang ilmu ini.
2. Ta’wil Mukhtalif al-Hadith tulisan Ibn Qutaybah Abdullah bin Muslim
3. Musykil al-Athar hasil karangan al-Tahawi Abu Ja`far Ahmad bin Salamah.

Nota : Jika ada yang tidak difahami, boleh terus berhubung dengan penulis. Ini adalah terjemahan daripada kitab Mustolah Hadis dari Dr Mahmud At-tohani.

1 comments:

Nurul Afiqah said...

Salaam..apakah pandangan ulama tentang cara menyelaraskan hadis mukhtalaf.?

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

Categories

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger