Kenapa tidak mahu rapatkan saf?




“Memenuhi saf yang paling hadapan memiliki keutamaan yang begitu besar fadhilatnya dan sekiranya ia diketahui oleh para jemaah yang menghadiri solat di masjid, pasti mereka akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya”.



            Perkara yang sering kita dengar daripada mulut imam sebelum memulakan solat ialah perkataan  “ luruskan saf (barisan dalam solat berjemaah)”, “rapatkan saf” . Namun begitu,  berapa ramai daripada kalangan kita yang benar-benar mengikuti arahan imam tersebut?  Berapa ramai pula yang mengetahui apakah maknanya meluruskan saf mengikut sunnah baginda saw yang sahih? Insyaallah, dalam pembacaan yang ringkas ini, penulis akan menurunkan beberapa sunah baginda saw yang berkaitan dengan saf di dalam solat berjemaah.


Keutamaan saf di hadapan

Telah menjadi satu kesepakatan di kalangan para ulama bahawa saf yang pertama adalah saf yang terbaik dan memiliki keutamaan yang terbesar bagi kaum lelaki ketika bersolat secara berjemaah. Manakala bagi saf kaum wanita, saf yang paling utama ialah saf yang paling akhir sekali. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a:

“Sebaik-baik barisan lelaki adalah yang paling hadapan, dan yang terburuk adalah yang paling belakang, dan sebaik-baik saf kaum wanita adalah yang terakhir, dan yang terburuk adalah yang paling hadapan.”
(Riwayat Muslim)

Memenuhi saf yang paling hadapan memiliki keutamaan yang begitu besar dan sekiranya ianya diketahui oleh para jemaah yang menghadiri solat di masjid, pasti mereka akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Ini sebagaimana sabda baginda saw yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

“Andaikata para manusia mengetahui apa yang ada di dalam panggilan azan dan memenuhi saf yang terhadapan kemudian mereka tidak berjaya mendaptkannya (saf yang hadapan itu) kecuali jika mereka berlumba untuk mendapatkannya, pasti mereka akan berlumba.”
(Riwayat Al-Bukhari)

Disebut juga di dalam hadis baginda saw bahawa saf di sebelah kanan mempunyai keutamaan yang lebih berbanding dengan shaf yang disebelah kiri. Daripada Aisyah r.a, dia berkata bahawa baginda saw bersabda:

Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas orang-orang yang berada di shaf sebelah kanan.”

Penutup

Demikianlah beberapa keutamaan saf yang pertama ketika solat berjemaah. Apa yang amat dikesalkan pada hari ini, terdapat ramai di antara kita yang tidak lagi memberi perhatian yang sepenuhnya terhadap keutamaan-keutamaan ini, malah mengabaikannya tanpa ada sebarang usaha ke arahnya.

Umat Islam seakan-akan tidak teruja untuk mendapatkan saf yang pertama. Mereka lebih memilih untuk mendapatkan tempat yang membolehkan mereka bersandar dengan selesa seperti di tiang-tiang atau dinding masjid, berdekatan dengan kipas atau pintu supaya boleh keluar dengan segera dan mudah dari masjid apabila selesai mendirikan solat.

Ada pula yang datang awal ke masjid, tetapi lebih memilih untuk berborak dahulu di luar masjid sambil menghisap rokok. Alangkah ruginya semua ini. Sesungguhnya baginda saw telah menyatakan bahawa sesiapa yang secara sengaja memenuhi saf di belakang, maka Allah swt akan membelakangkan mereka, sebagaimana yang dijelaskan di dalam sebuah hadis:

Rasulullah s.a.w melihat ada sebahagian sahabatnya yang tidak mahu maju ke saf yang pertama, maka baginda pun bersabda: “Majulah dan ikutilah saya, sedang orang-orang yang di belakang harus mengikutimu pula! Sesuatu kaum yang selalu suka di belakang itu, tentu akan dibelakangkan pula oleh Allah s.w.t.”
(Riwayat Muslim)

Adakah kerugian yang lebih besar daripada kerugian di belakangkan oleh Allah s,w.t?  Oleh itu datanglah awal ke masjid untuk solat berjemaah dan rebutlah saf yang pertama. Jika kita lihat segelintir daripada orang-orang arab, mereka amat berminat untuk memenuhi saf di bahagian hadapan, ada kalanya sampai beresak-esak untuk mendapatkan saf . Jadi, kita bila lagi wahai pembaca yang budiman?






2 comments:

Unknown said...

usually golongan makcik2 agak keberatan utk rapatkan sof,.,mcm mane yer dgn situasi mcm ni?

Fathullah Al-Haq said...

Di sni kita kene berbalik kpd situasi keadaan, cthnya apabila makcik2 yg tdk mahu rapatkan sof itu mgkin krn mereka uzur(tua), jd islam amat memahami hal keadaan mcm tu.. Jika sbliknya yg terjadi, mgkin krn mereka tidak mengetahui atau buat2 tidak tahu tntg klbhan saf, klu kita ada kekuatan tegurlah dngn cara hikmah krn itu adlh tggunjwb kita yg memahami ini sebagaimana hdis baginda saw : sampikanlah drpdku walaupun sepotong ayat. Klu makcik tu baik, insyaallah ia akan terima dan juga berdasarkan hati kita yg ikhlas menasihatinya.

oleh itu, kita semua akan jd makcik dan pakcik, maka dr sekarg kita perlu dakwah fardiyah, dkwah kwn2 kta seramai mgkin tntg fadhilat ibadat agar sesuatu masa nti generasi kita pula yg memahaminya. wallahu a'lam.

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

Categories

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger