Bangkitlah generasi Al-quran yang canggih.

(Beginilah situasi ketika Dr Amr Khalid menyiapkan bahan-bahan utk pengisian Ramadhan ini.)
" Kamilah yang berbai'ah dengan nabi Muhammad, atas nama islam selagi mana nyawa di kandung badan " (sahabat-sahabat r.anhum).
Di dalam meniti perjalanan sejarah kejayaan baginda saw dan para sahabatnya, terlalu banyak sebenarnya onak dan duri untuk mereka mencapai puncak jaya, terlalu banyk ujian yang perlu ditempuhi lantaran pihak musuh yang berjiwa kejam mengelilingi mereka, mereka getir dalam menghadapi ujian tersebut dengan penuh ketenangan dan kesabaran yang bukan calang-calang, hal ini bukanlah  kerana para sahabat tamak kan harta atau pangkat,  atau juga rampasan perang yang melimpah ruah, tetapi hanya satu sahaja matlamat mereka iaitu ingin meraih rasa kecintaan yang paling maksimum terhadap Allah swt dan rasulnya semata-mata, inilah bukti lepasan daripada madrasah baginda saw yang mulia sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud :
" katakanlah ( wahai Muhammad ): " jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu,  dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu atau sebaliknya, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, jika semuanya itu kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusannya yakni azab seksanya, kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik yakni derhaka  " At-taubah : 24.
Mudahnya, dapatlah kita lihat bahawa motivasi yang ada pada sahabat-sahabat pada ketika itu adalah Allah dan Rasulnya sahaja, mereka mempercayai matlamat apa yang mereka tidak lihat dengan mata, tetapi mereka mempercayai matlamat  dari sudut mata hati yang sangat celik mengenai kemenangan, azab, ganjaran, dan apa-apa sahaja yang datangnya dari Allah swt. ( di sini saya masukkan konsep motivasi, jadi yang tidak faham boleh bertanya )
 Sebagai contoh kisah agung yang saya ingin sebut kan ialah dalam bentuk praktikalnya, apa yang berlaku pada kepercayaan ibu nabi musa yang mutlak kepada suruhan Allah swt semasa bala tentera firaun ingin membunuh semua bayi lelaki pada ketika itu termasuk nabi musa, yang telah Allah swt rakam pun kisah tersebut di dalam surah al-qosos ayat 7 yang bermaksud,
" Dan kami ilhamkan kepada ibu musa  : susukanlah dia, dalam pada itu jika engkau takutkan sesuatu berbahaya mengenainya ( dari angkara firaun )  maka letakkanlah dia di dalam peti dan lepaskanlah dia ke laut, dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita, sesungguhnya kami akan kembalikannya kepadamu, dan kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari rasul-rasul kami " Al-qosos : 7
.
Perhatikan, jika kita mengamati dan mentadabbur  firman ayat di atas, dapatlah kita lihat betapa yakin nya ibu nabi musa terhadap Allah swt tanpa sebarang krisis keraguan, dan daripada rentetan kisah tersebut, ibu nabi musa sendiri yang memelihara nabi musa di istana firaun, hal ini kerana sewaktu isteri firaun ingin mengambil nabi musa sebagai anak angkat, nabi musa tidak mahu menyusu dengan sesiapa pun, maka carilah pembantu Asiah akan ibu-ibu yang sesuai untuk menyusukannya. Apabila ingin dipendekkan cerita bahawa maha besarnya Allah swt, salah seorang pembantu Asiah ialah sahabat kepada ibu nabi musa, lalu pembantu tersebut mencari ibu nabi musa dan menyusukannya, serta merangkap pengasuh nabi musa sehingga dewasa. Bukankah itu adalah aturan Allah swt yang maha berkuasa lagi bijaksana?
Walhal, jika kita lihat pada dewasa ini, terlalu ramai umat islam pada hari ini yang mempunyai krisis terhadap Allah swt, krisis keimanannya, keraguannya, ibadatnya, dan hampir semua sudut menjadi parah dan musnah. Akibatnya, mereka terlalu jauh dari pertolongan Allah swt sebagaimana hadis baginda saw yang bermaksud,
" Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu, tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu " (Riwayat Muslim)
 Mereka golongan mutaakhir ini lebih mempercayai matlamat apa di depan mata yang bersifat tipu daya tanpa ada sandaran dari hati yang celik iman dan keikhlasan, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-baqoroh megenai hukum qisasa yang bermaksud,  
" Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan kamu menjalankan hukum 'Qisas) " (al-baqoroh: 178)  
Bukankah kalau kita perhatikan hari ini, ramai manusia yang mengkritik hukum daripada Allah swt, bila hukum Allah tidak berjalan, Nurin dibunuh dan dirogol dengan kejam, di mana prinsip kita terhadap al-quran dan hukum Allah swt, oleh itu tepuk dada, tanyalah iman saudara-saudaraku sekalian.  Sebagai satu contoh yang ingin saya sebutkan lagi ialah fenomena negatif daripada segelintir masyarakat yang bertamadun kononnya.  Saya sendiri menghadapinya ketika beberapa tempoh tahun yang lalu, tentang segelintir masyarakat yang mengkritik pelajar-pelajar sekolah tahfiz tiada masa depan, hanya bekerja sebagai imam, hidup menyusahkan orang, minta derma itu dan ini, dan sebagainya, tidak mengapa wahai masyarakat ku yang jauh dari al-quran  (pujuk hatiku bersendirian ).   Alhamdulillah, hari ini saya dan kawan-kawan hafiz telah buktikan bahawa generasi  al-quran boleh menjadi pelajar terbaik sekolah dan ummah, boleh menjadi dokter, guru, pensyarah, peguam, pakar ekonomi, ahli perniagaan, dan berbagai-bagai lagi sebagaimana sabda nabi saw yang bermaksud tentang pemeliharaan Allah swt terhadap generasi al-quran ialah,
" Sesungguhnya Allah mempunyai 'ahli' daripada kalangan manusia. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah! Siapakah mereka itu? Baginda bersabda : Merekalah ahli al-quran iaitu 'ahli' Allah dan golongan pilihan-Nya. " ( riwayat Ibn Majah )
Akibat dari bisa mulut yang pahit takabburnya manusia terhadap al-quran, telanlah sendiri akibat anak-anakmu yang dibanggakan menjadi sampah masyarakat, buta al-quran, menjadi GRO, menderhaka, jahil tentang agama, tidak tahu yang halal dan haram, dan banyak lagi perkara yang seangkatan dengannya.    Oleh itu, jangan sesekali menghina para generasi al-quran wahai masyarakatku, belalah generasi al-quran sekadar mampumu, jadikanlah keturunanmu sebagai generasi al-quran, ajarilah mereka akan al-quran, pasti keberkatan melingkari hidup-hidupmu. Agar kamu boleh mencapai insan yang terbaik sebagaimana yang disabdakan oleh baginda saw yang bermaksud,
" Orang yang terbaik daripada kalangan kamu ialah orang yang belajar al-quran dan mengajarnya " ( Riwayat al-Bukhari)
Pantas, jika kita lihat golongan-golongan pro kononnya hari ini di peringkat tinggi atau pun rendah yang bukan daripada generasi al-quran, banyaknya  perasuah, tidak amanah, menipu, rakus dan banyk lagi jika kita lihat,  wahai  sidang pembaca yang budiman, fikirlah sendiri apa yang sedang berlaku di negara kita?   ( haih, tanah airku yang tercinta, ngomelku sendirian ).
Penutup
Oleh itu, wahai semua sahabatku dan saudara – saudara seagamaku sekalian, tidak kiralah daripada peringkat bawahan atau pun atasan, jagalah al-quran sebaik-baiknya di dalam dada-dada kamu sebagaimana hadis baginda yang bermaksud,
" Golongan yang sentiasa hampir dengan al-quran adalah seperti orang yang menambat unta, jika ia menambatnya, unta itu dapat dikawal. Jika ia melepaskannya, unta itu juga akan terlepas pergi ".  ( Riwayat al-bukhari)
Keterangan : Diumpamakan mempelajari al-quran dan membacanya berterusan dengan menambat unta yang dikhuatiri ia terlepas lari. Selagi mana, penjagaan dan pemerhatian dibuat maka ingatan tidak akan hilang. Seperti juga, unta yang ditambat tidak akan terlepas lari.  (kitab  Fathul Bari)
 Kembalilah kita kepada acuan al-quran dan as-sunah,  nabi saw juga dalam satu ucapan yang menggetarkan jiwa berpesan kepada para sahabat agar mempertahankan sunnah walaupun terpaksa menggigitnya dengan gigi geraham. Dalam hadis yang lain juga baginda ada menyebut,
" Orang berpegang teguh dengan agama di akhir zaman ibarat orang yang berpegang dengan bara api ".
Di bawah ini adalah senarai nama sebahagian sahabat-sahabat baginda saw yang telah berjaya keluar daripada madrasah baginda saw, para-para didikan baginda saw yang diangkat martabatnya oleh Allah swt sebagai sahabat yang dijamin masuk syurga, mereka ini terdiri daripada :
1)  Abu bakar al-siddiq r.a ( seorang yang paling dipercayai dan dikasihi nabi saw).
2)  Umar Al-khattab r.a ( orang yang berfikiran tajam dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi).
3)  Uthman bin Affan r.a ( seorang usahawan yang sangat pemurah dan seorang yang mempunyai kekuatan untuk berunding).
4)  Ali bin Abi talib r.a (berilmu tinggi dan berkepimpinan, apatah lagi beliau dibesarkan dalam madrasah nabi saw semenjak kecil).
5)  Abdul Rahman bin Auf r.a ( strategis dalam bidang perniagaan sehingga mampu menumbangkan ekonomi Yahudi laknatullah ).
6)   Thalhah bin Ubaidullah r.a (pahlawan perang yang telah putus kesemua jari dan digelar sebagai orang mati yang berjalan di muka bumi lantaran keadaannya yang teruk).
7)   Al-Zubair bin Al-'Awwam r.a ( panglima perang yang sangat berani sehingga digelar hawari atau pembantu nabi saw).
8)   Abu Ubaidah Amir al-Jarrah r.a ( orang yang menjadi kepercayaan ummah).
9)   Sa'ad bin Abi Waqqas r.a ( pemanah yang tidak pernah tersasar dalam bidikannya).
10)  Sa'id Zaid r.a ( adik ipar Umat al-khattab r.a yang terkenal dengan mulut masin).

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

Categories

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger