Nota forum: Untuk Mu Ya Habiballah.



Segala puji bagi Allah swt yang mentadbir sekalian alam, selawat dan salam sebanyak-banyaknya ke atas baginda saw.

 Pada malam yang lepas telah berlangsungnya satu forum perdana sambutan penutup bagi minggu " UntukMu Ya Habiballah". Panel yang dijemput adalah Ustaz Ahmad Sufyan b. Che Abdullah (calon PHD) dan Ustaz Anuar Ridhuan (calon PHD).


Sebagai mana yang kita sedia maklum bahawa sambutan maulidur rasul bukanlah satu bahagian daripada amalan agama, bahkan jika sesiapa yang beriktiqod bahawa sambutan maulidur rasul adalah amalan daripada amalan-amalan dalam agama, maka ia kufur dan mencipta 'bid'ah' yang besar dalam agama. Sambutan ini hanyalah untuk mengingat kembali jasa baginda saw yang sangat besar terhadap dakwah islam. Prof. Dr Yusof Al-Qorodhawi juga telah menyatakan jika sambutan maulidur rasul hanyalah untuk mengingati kembali sirah perjuangan baginda saw, maka ia tidak mengapa.


Pada bulan Rabi'ul awal ini, semua orang menganggap bahawa pada bulan ini hanya satu sahaja peristiwa besar yang berlaku, bahkan sebenarnya banyak lagi peristiwa yang besar berlaku dalam bulan ini, antaranya ialah baginda saw berhijrah ke madinah bersama sahabatnya sayidina Abu Bakar r.a, dan baginda saw juga wafat dalam bulan ini. Mungkin kerana ramai daripada kalangan kita yang hanya menyambut maulidur rasul (kelahiran nabi) pada saban tahun, maka kita terlupa dua lagi peristiwa besar yang berlaku dalam bulan ini.


Selain itu, tarikh sebenar nabi dilahirkan juga adalah khilaf daripada kalangan ulamak, maka tarikh sebenarnya tidaklah diketahui, tapi bulan ini baginda saw lahir adalah sahih. Saya tidaklah mahu untuk bercakap panjang mengenai hal ini, ini adalah nota ringkas yang saya fikir penting untuk pembaca semua ambil perhatian. Nota-notanya seperti berikut:


1. Pada hari ini, kebanyakan masyarakat telah terkeliru terhadap sambutan dan sirah baginda saw. Mereka lebih mempercayai cerita-cerita dusta yang banyak disebarkan dalam kalangan masyarakat semasa sambutan maulidur rasul berbanding dengan cerita-cerita yang benar dan sahih daripada nabi saw. Sebagai contoh ialah, tentang selawat dan qasidah-qosidah yang melampau, kita sudah sedia maklum bahawa selawat yang paling afdhal adalah selawat ibraimiyah, yang kita selalu baca dalam tahiyat akhir di dalam solat. Begitu juga dengan qasidah, mereka mencipta seni kata syei'r tersebut dengan melampaui batas sehingga menganggap nabi saw setaraf dengan tuhan, ini adalah satu bid'ah yang sangat melampau dan bercanggah dengan syariat agama islam.

Firman Allah swt yang bermaksud: Katakanlah, Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa tuhan kamu hanyalah tuhan yang satu, oleh itu, sesiapa yang percaya akan pertemuan dengan tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal soleh, dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada tuhannya. Al-kahfi ayat 110.


Ada juga yang menyebarkan cerita yang karut-marut yang tidak sahih salasilahnya seperti kisah apabila nabi dilahirkan, langit bercahaya dari timur dan barat, runtuhnya istana kisra di parsi, api biara majusi dan pelbagai lagi kisah yang kononnya untuk membesarkan nabi saw, walhal kita telah menzalimi ke atas nabi saw sebenarnya. Tidakkah kita rasa bahawa ini adalah perangkap licik daripada kalangan musuh islam untuk menjauhkan kita daripada hakikat sirah yang sebenar.


2. Ahli panel mengajak kita supaya mencari sumber-sumber yang sahih mengenai sirah dan hadis baginda saw, ini adalah penting untuk kita mempertahankan hak baginda saw, jangan sampai cerita-cerita yang tidak sahih tersebar dan akhirnya sejarah agama Nasrani berulang kembali iaitu semasa mereka mengangkat nabi Isa sebagai tuhan. Kita juga telah sedia maklum bahawa banyak kitab-kitab hadis telah ditapis, dikaji dengan mendalam tentang riwayatnya, dan kebanyakannya telah diterjemah alih kepada pelbagai bahasa.


Kembalikan kejernihan islam melalui dua cara iaitu memahami al-quran dan as-sunah seperti wasiat baginda saw kepada kita semua: Abu Najih, Al ‘Irbad bin Sariyah r.a. ia berkata : “Rasulullah telah memberi nasihat kepada kami dengan satu nasihat yang menggetarkan hati dan membuatkan air mata bercucuran”. kami bertanya ,"Wahai Rasulullah, nasihat itu seakan-akan nasihat dari orang yang akan berpisah selamanya (meninggal), maka berilah kami wasiat" Rasulullah bersabda, "Saya memberi wasiat kepadamu agar tetap bertaqwa kepada Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia, tetap mendengar dan taat walaupun yang memerintahmu seorang hamba sahaya (budak). Sesungguhnya barangsiapa diantara kalian masih hidup nescaya bakal menyaksikan banyak perselisihan, kerana itu berpegang teguhlah kepada sunnahku dan sunnah Khulafaur Rasyidin yang lurus (mendapat petunjuk) dan gigitlah ia dengan gigi geraham kalian. Dan jauhilah olehmu hal-hal baru kerana sesungguhnya semua bid'ah itu sesat." (hadis ni dinilai hasan sahih oleh imam al-tirmizi. disahihkan oleh al-hakim dalam al-mustadrak dan dipersetujui oleh Az-zahabi).



3. Ahli panel juga banyak bercerita tentang bagaimana sahabat mendengar kata-kata nabi saw dengan patuh dan ikhlas, salah satunya kisah sahabat dan sugi, nabi saw telah bersabda: kalaulah tidak kerana menyusahkan umatku, pasti aku akan menyuruh mereka bersugi(gosok gigi) setiap kali solat.( Riwayat bukhari dan Muslim), semasa seorang sahabat mendengar sahaja tentang perintah ini walaupun bukan wajib, beliau telah meletakkan suginya setiap masa di atas telinga beliau. Walaupun kita menganggap ini adalah perbuatan yang nampak ganjil, tapi kerana cintanya terhadap sunnah nabi saw, maka tanpa segan-silu beliau melakukan.


Begitu juga dengan kisah sahabat yang hebat seperti Ibnu Mas'ud, pada musim panas yang perit ketika mana beliau datang ke masjid nabawi untuk menunaikan solat Jumaat, masa itu semua ruang masjid telah dipenuhi jemaah, maka ia hanya mendengar khutbah nabi saw dari luar sambil berdiri. Apabila nabi melihat ada beberapa sahabat yang berdiri di dalam masjid, maka baginda saw menyuruh mereka duduk, lantas Ibnu Mas'ud pun mendengar suruhan nabi itu, lalu ia pun duduk di atas pasir sambil menahan peritnya panas. Ketika habis sahaja solat, nabi saw berjumpa dengan beliau dan bertanya kenapa kamu duduk di atas tanah yang panas tadi, lalu ia menjawab bahawa aku mendengar suruhanMu sebentar tadi, maka nabi pun mendoakan kebahagiaan Ibnu Mas'ud. Cerita-cerita ini telah membuktikan bahawa mendalamnya cinta sahabat-sahabat kepada baginda saw. Oleh itu, kita harus mengaplikasikan segala perbuatan nabi saw dalam amalan perbuatan kita seharian sebagai bukti cinta kita terhadapnya.


Ucapan dari imam besar.

Ucapan sepatah dua kata daripada imam besar masjid jamiah Syekh Ma'mun. beliau selaku ayah kedua kami dan merangkap imam kami pada setiap waktu telah banyak memberi nasihat yang sangat berguna. Beliau juga telah membacakan bacaan yang nabi saw baca iaitu bacaan Nafi' b. Warash, bacaan ini dibacakan di masjid nabi saw. Beliau juga menasihatkan pelajar Malaysia agar menghafal al-quran dari sekarang, kerana waktu belajar ini adalah waktu yang sangat sesuai untuk menghafal al-quran.


p/s: Bab syiah insyaallah saya akan ceritakan dengan lebih jelas pada masa akan datang. kerana ia perlukan penjelasan yg lebih mendalam dan luas.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers

Categories

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Powered by Blogger